.:: Followers ::.

kelebihan Puasa 6 Syawal dan Persoalan menggabungkan di antara dua puasa.


bismillah..
Alhamdulillah, sudah selesai kita berpuasa sebulan pada bulan ramadhan. Maka kini kita sedang berada di bulan syawal. Dan seperti yang kita ketahui, dalam bulan syawal kita dituntut supaya melakukan pula puasa enam hari pada bulan syawal.

Apakah kebaikan ataupun kelebihan berpuasa 6 hari pada bulan syawal ini?

“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” – Hadith Riwayat Muslim





Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Idul Fitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. [Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan semisal].” (HR. Ibnu Majah dan dishohihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Irwa’ul Gholil)

Rakan-rakan sekalian, jelas sekali rasulullah telah menyatakan apakah kelebihan berpuasa di bulan syawal ini. ya. siapa yang berpuasa enam pada bulan syawal ini ditambah dengan puasa ramadhanyang lepas, maka akan mendapat pahala seperti setahun berpuasa penuh. Subhanallah.

“Maukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai,…” – Hadith Riwayat Tirmidzi

Seperti yang kita tahu, puasa juga adalah perisai seorang muslim dari maksiat semasa dia di dunia, dan merupakan perisainya dari api neraka di akhirat nanti.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha? dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan pausa yang satu?

dan jawapan ini saya dapat daripada blog seorang teman..

Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha dan puasa enam dengan berniat puasa qadha dibulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qadha adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha, sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.

Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qadha yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang beniat kedua-duanya sekaligus.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardhu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qadha’ akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha tuhannya.

Persoalan seterusnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa secara berasingan di antara puasa enam dan puasa qadha’, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah di dalam kes ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai?

Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi iaitu salah seorang ulama AL-Azhar menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawal sahaja. Adapun puasa qadha’, seseorang itu bebas melakukan di dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha’ di bulan Sya’ban dan diperakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Samada ingin menggabungkan puasa enam dengan puasa yang lain atau ingin melakukannya secara berasingan, itu terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Apa yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Amin.

No comments:

Post a Comment

kata-kata anda amat berharga. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...