Tertarik dengan puisi ni...
GADIS
Seorang gadis itu
yang lembut fitrah tercipta
halus kulit.. manis tuturnya
lentur hati
telus wajahnya
setelus rasa membisik di jiwa
di matanya cahaya
dalamnya ada air
sehangat cinta
sejernih suka
sedalam duka
ceritera hidupnya
seorang gadis itu
hatinya penuh manja
penuh cinta.. sayang semuanya
cinta untuk diberi
cinta untuk dirasa
namun manjanya
bukan untuk semua
bukan lemah
atau kelemahan dunia
ia boleh kuat
boleh jadi tabah
boleh ampuh menyokong
pahlawan pahlawan dunia
begitu unik tercipta
lembutnya bukan lemah
tabahnya tak perlu pada
jasad yang gagah
seorang gadis itu
teman yang setia
buat Adam dialah Hawa
tetap di sini
dari indahnya jannah
hatta ke medan dunia
hingga kembali mengecap nikmatNya
seorang gadis itu
boleh seteguh Khadijah
yang suci hatinya
tabah dan tenang sikapnya
teman ar-Rasul
pengubat duka dan laranya
bijaksana ia
menyimpan ilmu
si teman bicara
dialah Aishah
penyeri taman Rasulullah
dialah Hafsah
penyimpan mashaf pertama kalamullah
seorang gadis itu
boleh setabah Maryam
meski dicaci meski dikeji
itu hanya cerca manusia
namun sucinya ALLAH memuji
seperti Fatimah kudusnya
meniti hidup seadanya
puteri Rasulullah
kesayangan ayahanda
suaminya si panglima agama
di belakangnya dialah pelita
cahaya penerang segenap rumahnya
ummi tersayang cucunda Baginda
dia segagah Nailah
dengan dua tangan
mampu melindung khalifah
meski akhirnya bermandi darah
meski akhirnya khalifah rebah
syaheed menyahut panggilan Allah
seorang gadis itu
perlu ada yang membela
agar ia terdidik jiwa
agar ia terpelihara
dengan kenal Rabbnya
dengan cinta Rasulnya
dengan yakin Deennya
dengan teguh aqidahnya
dengan utuh cinta yang terutama
Allah jua RasulNya
dalam ketaatan penuh setia
pemelihara maruah dirinya
agama.. keluarga dan ummahnya
seorang gadis itu
melenturnya perlu kasih sayang
membentuknya perlu kebijaksanaan
kesabaran dan kemaafan
keyakinan dan penghargaan
tanpa jemu dan tanpa bosan
memimpin tangan.. menunjuk jalan
seorang gadis itu
yang hidup di alaf ini
gadis akhir zaman
era hidup perlu berdikari
dirinya terancam dek fitnah
sucinya perlu tabah
cintanya tak boleh berubah
tak boleh terpadam dek helah
dek keliru fikir jiwanya
kerana dihambur ucapkata nista
hanya kerana dunia memperdaya
kerana seorang gadis itu
yang hidup di zaman ini
perlu teguh kakinya
mantap iman mengunci jiwanya
dari lemah dan kalah
dalam pertarungan yang lama
dari rebah dan salah
dalam perjalanan mengenali Tuhannya
dalam perjuangan menggapai cinta
nikmat hakiki seorang hamba
dari Tuhan yang menciptakan
dari Tuhan yang mengurniakan
seorang gadis itu
anugerah istimewa kepada dunia!
seorang gadis itu
tinggallah di dunia
sebagai abidah
daayah dan mujahidah
pejuang ummah
anak ummi dan ayah
muslimah yang solehah
kelak jadi ibu
membentuk anak anak ummah
rumahnya taman ilmu
taman budi dan ma'rifatullah
seorang gadis itu
moga akan pulang
dalam cinta dan dalam sayang
redha dalam keredhaan
Tuhan yang menentukan
seorang gadis itu dalam kebahagiaan!
moga ar-Rahman melindungi
merahmati dan merestui
perjalanan seorang gadis itu
menuju cintaNya yang ABADI!